comscore
Tumpuan :
Sukan

Saya akan galas cabaran dan peluang ini – Vicente

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente, ketika latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Pau Marti Vicente menjelaskan bahawa dia tidak tertekan untuk menggalas tugas yang ditinggalkan bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Vicente bakal berdepan tugasan pertamanya bersama Harimau Malaya dalam Pestabola Merdeka 2024 yang akan bermula Rabu depan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran untuk skuad negara muncul juara.

Pengendali dari Sepanyol itu menganggap tanggungjawab besar yang diberikan untuk mengemudi Harimau Malaya sebagai satu penghormatan buat dirinya.

Dia yang sebelum ini bertindak sebagai penolong jurulatih berkata, fokus utamanya ketika ini adalah untuk memastikan Harimau Malaya meraih kemenangan ke atas Filipina dalam aksi pertama Pestabola Merdeka di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Sebelum ini saya sudah bertindak sebagai penolong jurulatih. Saya terbabit dengan banyak kelab dan pasukan yang berada pada tahap berbeza.

“Saya sedar mengenai tugas sebagai ketua jurulatih, bagi saya tiada tekanan. Saya akan menggalas cabaran dan peluang ini yang mana saya juga mahu membantu pemain meningkat,” katanya.

Vicente buat kali pertama memimpin sesi latihan skuad kebangsaan, semalam sebagai persiapan untuk menghadapi Pestabola Merdeka 2024 dan sekiranya menang ke atas Filipina, Harimau Malaya akan menentang sama ada Lubnan atau Tajikistan di final, 8 September ini.

Semua pemain yang dipanggil sudah melaporkan diri semalam, kecuali Dion Cools yang akan hadir pada Isnin ini kerana masih memiliki komitmen bersama kelabnya, Buriram United.

Selain Pestabola Merdeka, Vicente juga akan menggalas tugas besar apabila skuad negara akan mengharungi beberapa lagi aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober dan November ini.

Ia termasuk aksi menentang pasukan ranking 94 dunia, New Zealand dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium North Harbour, Auckland, 14 Oktober ini.

Selain itu, Vicente enggan memikirkan mengenai masalah dihadapi Filipina yang ketika ini dibimbing pengendali sementara, Norman Fegidero susulan peletakan jawatan Tom Saintfeit.

“Objektif kami di Pestabola Merdeka adalah untuk menang terlebih dahulu dengan Filipina dalam perlawanan pertama dan mahu pemain berikan kerjasama dan yakin mereka mampu berikan yang terbaik dan meraih kemenangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini