MILAN: Inter Milan gagal meneruskan permulaan sempurna musim ini apabiala ditumbangkan Sassuolo 2-1 dalam aksi Serie A di laman sendiri, awal pagi tadi.
Selepas merakam lima kemenangan berturut-turut dalam lima aksi awal liga musim ini untuk berada di tangga pertama, Inter memulakan saingan dengan langkah kanan.
Inter mendahului 1-0 di babak pertama menerusi jaringan Denzal Dumfries dalam perlawanan yang berlangsung di San Siro .
Bagaimanapun, pelawat mempamerkan aksi lebih kemas di babak kedua dan berjaya menyamakan kedudukan di minit 54.
Cubaan jarak jauh Nedim Bajrami gagal dihalang penjaga gol tuan rumah, Yann Sommer.
Domenico Berardi meledak gol kemenangan 10 minit sebelum berakhir untuk memastikan Sassuolo pulang membawa tiga mata penuh, malah ia adalah kejutan kedua dalam seminggu selepas turut mengejutkan Juventus sebelum ini.
Inter kekal di tangga teratas liga dengan perbezaan gol mengatasi AC Milan yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Cagliari. –
“Selepas aksi yang baik di babak pertama, kami sepatutnya mendapatkan tambahan gol tetapi kami hilang fokus terutama selepas gol penyamaan pihak lawan,” kata pengendali Inter, Simone Inzaghi.
“Kalah di hadapan penyokong sendiri ia cukup menyakitkan. Kami perlu terima keputusan ini, dan walaupun jadual agak padat dengan aksi berikutnya Sabtu ini, kami perlu bangkit segera,” katanya. – REUTERS