Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] Sasaran selamat Kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou, 27 pingat tanpa mengira warna

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia mengambil langkah selamat dengan tidak mengumumkan sasaran Sukan Asia Hangzhou 2022 secara spesifik mengikut warna pingat.

Langkah berkenaan digunapakai buat kali pertama bagi memastikan atlet negara tidak berdepan tekanan sehingga boleh menggugat misi memburu kilauan pingat.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama kontinjen Malaysia selepas  majlis penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Asia & Para Asia Hangzhou di MSN Bukit Jalil, Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

Pendekatan baharu diambil dengan hanya mengumumkan sasaran sejumlah 27 pingat menerusi 13 jenis sukan  bagi temasya yang bermula pada  23 Sept hingga 8 Okt ini.

Ketua Kontinjen Negara (CDM), Datuk Chong Kim Fatt,berkata terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wushu dan e-sukan sebagai sukan yang diletakkan sandaran pingat pada kali ini.

Kontinjen Malaysia dianggotai seramai 289 atlet dan 145 pegawai dengan jumlah besar 434 (309 lelaki dan 125 wanita) yang akan menyertai 22 daripada 40 sukan dipertandingkan.

“Pengumuman sasaran pingat emas sahaja boleh menyebabkan tekanan berlebihan buat atlet dan jejaskan tumpuan mereka pamerkan prestasi terbaik mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia dan Para Asia Hangzhou 202, di sini, hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan semua pihak terlibat termasuk pihak Universiti Sains Sukan Nippon, Jepun yang mempunyai jalinan kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, Malaysia yang turun dengan misi meraih tujuh emas, berjaya menang sejumlah 36 pingat, iaitu tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Sebelum ini, Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023 pada Mei lepas, menerima kritikan hebat selepas mempamerkan prestasi kurang memuaskan dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan.

Kontinjen ke Sukan SEA sekadar membawa pulang 34 pingat emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk menduduki tempat ketujuh keseluruhan.

Terdahulu, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan Jalur Gemilang kepada Kim Fatt dan CDM Sukan Para Asia, KM Rajendran.

Hadir sama,  Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Loading...
Terkini