comscore
Tumpuan :
Sukan

Sasaran ‘selamat’ Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou undang kritikan

Bagi penganalis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli. -Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Langkah selamat yang diambil kontinjen Malaysia dengan tidak mengumumkan sasaran Sukan Asia Hangzhou 2022 secara spesifik mengikut warna pingat, terus menimbulkan kritikan daripada penganalis dan bekas penggiat sukan tanah air.

Bagi penganalis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, keputusan kontinjen negara tidak mengumumkan sasaran emas seperti kelaziman, memberi petanda bahawa mereka seolah-olah bimbang dengan kegagalan yang mungkin dialami.

“Bagi saya, kita tak perlu takut dan usah risau sasarkan emas sebab ia satu tanggungjawab dan bukan tekanan kepada atlet,” ujar Datuk Dr Pekan.

“Kenapa mahu sembunyikan sasaran emas? Tiada istilah gagal dalam sukan kerana paling penting mereka harus terima kegagalan dengan pemikiran terbuka.

Semalam, Ketua Kontinjen Negara (CDM) Datuk Chong Kim Fatt berkata pendekatan baharu diambil dengan hanya mengumumkan sasaran sejumlah 27 pingat menerusi 13 jenis sukan tanpa menamakan sasaran emas di Hangzhou.

Menurut beliau, acara terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wusyu dan e-sukan sebagai sukan yang diletakkan sandaran pingat kali ini.

Datuk Dr  Pekan turut menegaskan, alasan bagi mengelakkan tekanan kepada atlet tidak boleh diguna pakai kerana kecemerlangan mereka juga antara lain, berpunca daripada kejayaan menangani cabaran tersebut.

“Hanya atlet hebat dapat menangani tekanan. Jika benar tekanan rosakkan atau bebankan atlet, lebih baik mereka tukar bidang,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan Tan Sri Mohd Khalid Yunus turut tidak bersetuju sasaran ‘selamat’ Sukan Asia Hangzhou.

Ketua Kontinjen Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan Tan Sri Mohd Khalid Yunus. – Foto fail NSTP

Beliau menolak alasan pengumuman pingat secara keseluruhan dilakukan bagi mengelakkan tekanan kepada atlet, kerana ia sudah sebati dalam kehidupan mereka.

“Semua atlet bertanding ada tekanan tersendiri cuma perbezaaannya sama ada mereka ada kemahuan untuk menang dan mengelakkan kesilapan kerana itu akan tentukan mereka menang atau kalah,” kata Tan Sri Khalid yang pernah bergelar Presiden Persatuan Olahraga Amatur Malaysia.

Biarpun kontinjen Malaysia mempunyai hak menentukan jenis sasaran yang mahu diumumkan, bagi Tan Sri Khalid, akhirnya ia bergantung pada daya juang serta semangat tinggi atlet dalam mengharumkan nama negara di Sukan Asia.

Pada Sukan Asia kali ini, Malaysia akan diwakili 289 atlet yang beraksi dalam 22 daripada 40 jenis sukan atau 121 daripada 481 acara yang dipertandingkan.

Ia dijadual berlangsung di Hangzhou, China bermula  23 September hingga 8 Oktober ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini