comscore
Tumpuan :
Sukan

Sarawak tiada masalah sediakan venue untuk acara SUKMA 2024

KUCHING: Sarawak tidak mempunyai sebarang masalah atau halangan untuk menyediakan kesemua venue bagi acara-acara yang dipertandingkan pada temasya SUKMA 2024 walaupun terdapat pertambahan lima lagi acara yang akan dipertandingkan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata,  pembinaan beberapa venue termasuk padang kriket dan dua  padang ragbi sedang dilaksanakan di Kompleks Sukan Petra Jaya.

“Kita ada dua padang ragbi dan satu padang kriket yang sedang dalam pembinaan di kompleks sukan kita di Petra Jaya.

“Kesemua venue itu akan siap dan tersedia untuk digunakan sebelum berlansungnya SUKMA pada Ogos tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Dialog Seni, Majlis Seni Sarawak di Kuching.

Abdul Karim berkata pertambahan lima lagi acara baharu itu menjadikan penganjuran SUKMA tahun hadapan yang terbesar pernah dianjurkan dengan 37 acara bakal dipertandingkan termasuk lima acara baharu itu.

Keputusan untuk menambah lima lagi acara baharu itu selepas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA menerima pemohonan tujuh persatuan sukan bagi membolehkan ia dipertandingkan pada temasya berkenaan.

Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh semalam bersetuju untuk menambah lima lagi acara baharu untuk dipertandingkan pada Temasya SUKMA Sarawak tahun hadapan.

Lima acara itu ialah acara sukan sofbol, catur, kabbadi, silambam dan kriket akan dipertandingkan selepas kesemua acara tersebut memenuhi syarat ditetapkan untuk dipertandingkan pada temasya berkenaan.

Loading...
Terkini