Tumpuan :
Sukan

Santiago Bernabeu hidang suasana baru yang menakjubkan

Gambaran dari luar Stadium Santiago Bernabeu menggunakan dron menampilkan bentuknya yang mengagumkan. – Foto Twitter Real Madrid CF

MADRID: Stadium Santiago Bernabeu akhirnya dibuka semula selepas proses pengubahsuaian bernilai hampir £1 bilion (RM5.87 bilion).

Kelab gergasi La Liga, Real Madrid mula mengubah suai gelanggang ikonik mereka pada tahun 2019 dengan hasrat untuk melonjakkannya ke satu tahap sama dengan pencabarnya pada zaman moden.

Stadium baharu yang dipertingkatkan itu tidak diragui lagi amat menakjubkan dan memiliki bumbung yang boleh dialih.

Ruangan hospitaliti baharu yang memukau – yang memberikan peminat serta pengunjung pandangan padang lebih menakjubkan selain layanan luar biasa – juga dibina semula di gelanggang bersejarah itu.

Kelab gergasi Sepanyol itu berkongsi rakaman video pengubahsuaian mengagumkan itu dengan dunia dan media sosial sebelum pertembungan mereka dengan Getafe Sabtu lalu.

Klip video menggunakan dron itu memberikan gambaran pandangan ‘birdseye’ dalam dan luar stadium serta ruangan hospitaliti baharu yang mengagumkan.

Pemain Real Madrid kali pertama beraksi di bawah bumbung ketika menentang Getafe dalam perlawanan La Liga, Sabtu lalu. – Foto Twitter Real Madrid CF

Projek pengubahsuaian semula Bernabeu patutnya disiapkan tahun lalu tetapi ia melebihi tarikh jangkaan awal mereka.

Real membuka semula gelanggang serba moden mereka bagi perlawanan pertama di laman sendiri musim ini – pertembungan tetangga Madrid menentang Getafe.

Pengurus Carlo Ancelotti berkata: “Ia satu suasana menakjubkan, ada sesuatu yang baharu.

“Saya fikir peminat datang lebih ramai hari ini, ia satu suasana yang lebih menyeronokkan.

“Anda boleh rasakan kehadiran peminat – ia pasti banyak membantu dan ia bermula hari ini.”

Real menang 2-1 menerusi gol masa kecederaan pemain tengah England, Jude Bellingham. – AGENSI

Loading...
Terkini