comscore
Tumpuan :
Sukan

Sanjay sasar beraksi pada Olimpik 2028

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bintang skuasy meningkat naik Sanjay Jeeva menetapkan sasaran untuk bertanding pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) iaitu penampilan pertama sukan itu dalam temasya sukan terbesar dunia tersebut.

Bagi mencapai misi LA28, atlet berusia 24 tahun itu, yang kali pertama mewakili Malaysia pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia Lelaki (MWTC) di Tauranga, New Zealand, Disember lepas, menyasarkan untuk berada dalam kelompok 50 terbaik menjelang akhir tahun ini, daripada kedudukannya ke-69 sekarang.

“Menjelang akhir musim depan, saya mahu berada dalam 40 terbaik dan dapat bertanding dalam Kejohanan Asia. Matlamat jangka panjang saya ialah melayakkan diri ke LA28,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Walaupun kini merupakan pemain perseorangan lelaki ketiga negara dan telah berkecimpung dalam sukan itu sejak kecil, Sanjay hanya mula meraih perhatian media tahun lepas, memandangkan beliau membesar di Brussels, Belgium.

Sanjay mengikuti keluarganya berpindah ke Belgium ketika berumur dua tahun susulan tuntutan kerja ibunya, Asha, yang berkhidmat di bawah Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Berikutan itu, Sanjay berpeluang mempelajari pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Perancis, Sepanyol, Belanda, Jepun dan Mandarin selain Bahasa Melayu.

Sanjay yang mula bermain skuasy pada usia 10 tahun sebagai aktiviti rekreasi hujung minggu dan menyertai pertandingan antarabangsa pertamanya, Terbuka Remaja Luxembourg, dua tahun kemudian dalam kategori bawah 13 tahun.

Peluang latihan yang terhad dan mahal di Belgium tidak memadam kesungguhan dan minatnya untuk sukan itu.

Beliau kemudian berpeluang mewakili Negeri Sembilan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan 2022, sebelum membantu pasukan negara meraih tempat ke-11 pada MWTC dan terbaharu, merangkul emas dalam acara perseorangan lelaki dan berpasukan campuran.

“Inspirasi terbesar saya ialah (bekas pemain nombor satu dunia dan juara dunia tiga kali) Ramy Ashour dari Mesir. Sejak kecil, saya sering menonton beliau bermain. Cara beliau bermain skuasy tidak sama seperti orang lain, membuatkan saya cuba bermain seperti beliau dan mendorong saya untuk menjadi seperti beliau,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam Biologi di Franklin & Marshall College (F&M) di Amerika Syarikat pada 2021, Sanjay terus menetap di Amerika sebagai pemain skuasy profesional yang mengikuti jelajah sekali gus membolehkan beliau berlatih dan bertanding dalam kejohanan selain menjadi jurulatih bagi menjana pendapatan.

Daripada 26 kejohanan disertainya dalam jelajah PSA, Sanjay telah merangkul empat kejuaraan iaitu DreadSport Pro Series I, Intensity Squash Satellite dan Lifetime Open pada 2022 serta Terbuka Bermuda 2024,

==BERNAMA==

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini