PETALING JAYA: Gelaran ‘pembunuh gergasi’ mungkin sesuai diberikan kepada PDRM FC apabila kali ini menjadikan Sabah FC sebagai mangsa apabila menumbangkan lawan 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya,
di sini, malam tadi.
Ia adalah kejutan kedua yang dilakar oleh skuad Sang Saka Biru selepas pada Sabtu lalu mengejutkan satu lagi pasukan pilihan, Selangor FC dengan kemenangan 1-0 di venue sama.
Sebaliknya Sabah yang berbelanja besar pada musim ini seolah kehilangan idea untuk menembusi benteng pertahanan PDRM yang cukup ampuh sepanjang 90 minit permainan.
Dalam aksi itu, pelawat yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee menguasai aksi sejak mula, namun tuan rumah berjaya mendahului menerusi jaringan Nabil Latfi di minit ke-26.
Gol berpunca daripada hantaran ketua pasukan, Uche Agba yang melambungkan bola sebelum Nabil bijak melepasi pertahanan untuk meledak gol pertama.
Sabah cuba bangkit dan peluang terbaik muncul di minit 41 namun percubaan Park Taesu berjaya dihalang penjaga gol PDRM, Ramdhan Hamid.
Pelawat meningkatkan suhu permainan di babak kedua dengan Baddrol Bakhtiar hampir menyamakan kedudukan di minit 50, tetapi tolakannya melambung tinggi selepas menerima hantaran lintang Jailton da Silva.
Selepas itu sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik buat Sabah mendapatkan gol termasuk tandukan Taesu di masa kecederaan yang tidak menemui sasaran, untuk anak buah Azzmi Aziz ceria menuai tiga mata.