Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Walaupun tampil dengan sokongan lebih 10,000 penyokong namun tiada kelebihan berpihak kepada tuan rumah sebaliknya perlu kerja lebih keras cipta banyak peluang untuk benamkan lawan pada perlawanan timbal balik 2 Februari depan.
Itu harapan Ketua Jurulatih Sabah FC, Martin Stano selepas pasukannya terikan seri 1-1 berdepan Sri Pahang FC pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, semalam.
“Kami perlu bekerja keras pada hal ini dan menciptakan peluang yang lebih banyak. Sebab ini satu-satunya cara yang boleh kami lakukan. Jika kita boleh menang, kita boleh menang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia.
Jelas jurulatih dari Slovakia itu lagi, mendahului rentak permainan dengan satu jaringan gol pada babak pertama juga ternyata tidak memberi kelebihan pasukannya yang terlalu bergegas menghantar bola namun di babak kedua pasukannya beraksi jauh lebih baik.
Mengakui ianya bukan mudah namun Stano optimis akan ada peluang menang pada saingan separuh akhir kedua nanti jika perlawanan malam tadi dijadikan pengajaran sebaik mungkin.
“Tetapi kita perlu mengambil ini sebagai pengajaran, kami mempunyai satu lagi peluang, satu lagi permainan dan ianya bukan sesuatu yang mudah, kita boleh berjaya di sana, kita boleh menang, tiada apa yang mustahil. Kita masih perlu beri kredit kepada semua pemain,” katanya.
Bagi pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad berkata pujian harus diberikan kepada anak buahnya yang bermain dengan disiplin serta keazaman mentaliti yang tinggi.
“Kita mungkin ada peluang juga seperti pasukan Sabah untuk masuk ke final, mereka punya mentaliti berubah dan disiplin. Hari ini keazaman dan kemahuan kita agak lebih hari ini. Tak seperti main dengan Negeri Sembilan dan mereka tekad untuk mendapat sesuatu,” katanya pada sidang media sama.
Fandi turut mengakui satu kehilangan besar bintangnya Manuel Hidalgo tidak dapat beraksi pada pertembungan akan datang berikutan dilayangkan kad merah selepas dikesan menjatuhkan Dominic Tan pada minit ke-73.
Namun ujarnya ia bukan halangan untuk menang kerana senjata terakhir menerusi pemain simpanan yang ditampilkan minggu depan juga bakal memberikan tentangan hebat kepada pasukan lawan.
Sementara itu pertukaran yang berlaku dalam perlawan semalam pula jelas Fandi adalah satu strategi taktikal dan fizikal bagi mewujudkan momentum baharu menentang lawan.
“Sebab itu kita simpan ketiga-tiga pemain asing, sebab pemain lokal kita seperti Saiful dan Baim sangat luar biasa hari ini, sejak kita bermain Piala Malaysia ni, mereka sering bermain lawan Perak, lawan Selangor jadi mereka punya momentum baru saya tak nak ubah,” katanya.
Aksi timbal balik kedua akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Temerloh, Pahang pada 2 Februari 2025 bagi menentukan slot ke pentas akhir.
Kali terakhir skuad Sang Badak melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada 2003, namun mereka dikecewakan dalam pertembungan itu selepas tewas 0-3 kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) FC.
Manakala skuad Tok Gajah bermain di pentas final Piala Malaysia adalah pada edisi 2014 dengan mengalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.