LIVERPOOL: Mohamed Salah menerima ucapan tahniah daripada bekas pemain pertahanan Mesir, Haytham Farouk yang mendakwa pemain itu sudah menandangani kontrak baharu bersama Liverpool.
Situasi kontrak bintang The Reds bersama kelab Anfield menjadi topik hangat sepanjang musim ini, dengan kontraknya sebelum ini akan tamat pada penghujung Jun depan.
Salah yang mempamerkan prestasi luar biasa pada permulaan kempen dengan 13 gol dalam 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris, mencuri perhatian minggu lalu apabila mendakwa dia belum dihubungi mengenai kontrak baharu dan mengakui kecewa dengan situasi berkenaan.
Laporan baru-baru ini mendakwa pemain berusia 32 tahun itu, yang hanya kekurangan tiga gol untuk menjadi penjaring keempat terbanyak dalam sejarah Liverpool, bersedia menandatangani perjanjian lanjutan kontrak selama setahun.
Bagaimanapun, Farouk yang bermain untuk pasukan kebangsaan Mesir antara tahun 1993 hingga 1999 mendakwa bintang The Reds itu telah bersetuju dengan perjanjian baharu bersama pasukan Arne Slot.
“Tahniah kerana memperbaharui kontrak dengan jumlah yang anda mahukan dan tempoh yang anda kehendaki,” tulis Farouk, yang juga seorang penganalisis popular di beIN Sports, di laman sosial X.
Berita berkenaan pastinya menggembirakan penyokong The Reds yang sebelum ini bimbang pemain itu akan meninggalkan pasukan secara percuma pada musim panas walaupun masih menunjukkan prestasi cemerlang.
Dua gol menakjubkan Salah ketika seri 3-3 dengan Newcastle membawanya ke puncak carta penjaring Liga Perdana dan mendorong Jamie Carragher untuk menggesa pihak pengurusan kelab memberikan apa yang dimahukan oleh penyerang itu, walaupun dia berpendapat sebaliknya beberapa hari sebelumnya. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.