LIVERPOOL: Mohamed Salah sedia menandatangani lanjutan setahun dalam kontraknya di Liverpool, tetapi semakin kecewa dengan cara kelab menangani rundingan kontraknya.
Bintang Mesir itu mengejutkan dunia bola sepak minggu lalu apabila mendakwa kelab lembap dalam menawarkan kontrak baharu kepadanya, dan dia lebih cenderung untuk keluar sebaik kontrak sedia ada tamat akhir musim ini berbanding kekal di Anfield.
Pemain 32 tahun itu, yang menjaringkan satu gol dan satu hantaran ketika kemenangan 2-0 Liverpool ke atas juara bertahan, Manchester City pada Ahad lalu berkata, dia menikmati setiap saat bermain untuk The Reds dan menganggap setiap perlawanan adalah yang terakhir buatnya.
Tindakan Liverpool melambatkan tawaran kontrak baharu kepada Salah mencetus spekulasi bahawa penyerang itu mahukan perjanjian jangka panjang yang lumayan.
Namun menurut laporan The Athletic, penjaring kelima terbanyak kelab itu sedia menerima lanjutan setahun lagi.
Salah sekali lagi menampilkan persembahan cemerlang untuk skuad bimbingan Arne Slot yang kini mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan sembilan mata selepas 13 perlawanan.
Jika gagal mencapai persetujuan dengan Liverpool, juara Ligue 1, Paris Saint-Germain dan kelab Arab Saudi, Al-Ittihad dilihat antara destinasi seterusnya buat Salah musim depan. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.