LONDON: Mohamed Salah melonjak ke tangga keenam dalam senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang zaman, mengatasi legenda Chelsea, Frank Lampard.
Salah menyumbat gol ke-177 dan 178 dalam pertandingan itu ketika Liverpool menang 2-0 di Bournemouth lewat malam tadi.
Bintang Mesir itu kini hanya kurang enam gol berbanding bekas penyerang Manchester City, Sergio Aguero, penjaring terbanyak EPL dalam kalangan pemain asing.
Menakjubkan, Salah memulakan musim ini di tangga ke-11 sepanjang zaman dengan 157 gol.
Dalam beberapa bulan terakhir dia mengatasi Jermain Defoe (162 gol), Robbie Fowler (163), Thierry Henry (175) dan kini Lampard (177).
Pada kadar jaringan semasanya, dia dijangka mengatasi Aguero dan Andrew Cole sekali gus melonjak ke tangga keempat sebelum musim berakhir.
Kontrak Salah bersama Liverpool berakhir musim panas ini, jadi rekod Wayne Rooney, Harry Kane dan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Alan Shearer mungkin selamat – kecuali dia terus kekal beraksi bersama The Reds.
Salah kini meledak 11 gol EPL menentang Bournemouth, pasukan ketujuh dia menyumbat 10 gol atau lebih dalam pertandingan itu.
Hanya Shearer (12) pernah meledak dua angka menentang lebih banyak lawan berbeza dalam sejarah EPL.
Pemain Mesir itu kini mengumpul 301 gol dalam karier pertandingan kelab di Eropah, 236 daripadanya hadir bersama Liverpool, Basel (20), Chelsea (2), Fiorentina (9) dan AS Roma (34).
Dia turut menjaringkan 20 gol atau lebih dalam satu musim EPL buat kali kelima.
Dua gol Salah di Bournemouth mengekalkannya sebagai pendahulu penjaring terbanyak liga dengan 21 gol musim ini, tiga gol di depan penyerang Manchester City, Erling Haaland dalam perebutan anugerah Kasut Emas.
Salah mengintai anugerah Kasut Emas keempat dalam kariernya, untuk menyusuli kejayaan pada musim 2017-18, 2018-19 dan 2021-22.
Jika dia menang sekali lagi, dia akan menyamai rekod Henry menang Kasut Emas EPL empat kali. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.