LIVERPOOL: Mohamed Salah didakwa bersedia meninggalkan Liverpool untuk menerima tawaran kelab Arab Saudi pada jendela perpindahan lalu.
Menurut Michail Antonio bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan selepas Liverpool menolak tawaran awal bernilai 150 juta pound (RM871.04 juta) daripada Al-Ittihad.
Laporan mengatakan mereka sedia meningkatkan tawaran kepada 200 juta pound (RM1.16 bilion) tetapi skuad kendalian Jurgen Klopp mahu mengekalkan bintang Mesir itu sekurang-kurangnya sehingga Januari tahun depan.
Penyerang West Ham, Antonio berkata, pemain 31 tahun itu – yang bakal menerima gaji 100 juta pound (RM580.69 juta) selama tiga tahun – berminat untuk berpindah, tetapi dihalang oleh Liverpool.
“Dia (Salah) tidak menolaknya. Dia tidak dibenarkan keluar oleh The Reds. Saya tahu, dia bersedia untuk meninggalkan Anfield,” kata Antonio.
Antonio turut mendedahkan yang Salah mempunyai alasan lain untuk berpindah ke Arab Saudi selepas karier enam tahun yang gemilang di Anfield.
Pemain Mesir itu meledak 188 gol untuk Liverpool dan di tangga kelima dalam senarai penjaring terbanyak kelab, serta memenangi kesemua trofi ditawarkan bersama kelab itu.
“Apa lagi yang dia boleh lakukan di Liverpool? Dia sudah melakukan semuanya. Saudi adalah peluang terbaik buatnya, dia seorang Muslim dan tawaran itu sesuai buatnya.”Tidak ada aspek negatif untuk dia ke sana.
Saya faham dia masih mempunyai kontrak yang perlu dihormati,” katanya.Musim ini, Salah meledak dua gol dan membantu empat jaringan dalam lima perlawanan pertama, dengan Liverpool masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
The Reds akan beraksi Khamis ini menentang pasukan Austria, LASK dalam saingan Liga Europa, sebelum bertemu West Ham pada Ahad.