KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Dr Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan.
Ia menyaksikan pakar dari Australia itu akan menggalas salah satu jawatan utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
FAM dalam kenyataan hari ini memaklumkan Duncan meletakkan visi bagi mewujudkan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia untuk sains sukan dan perubatan sukan.
Badan induk itu berkata, ia akan membolehkan pasukan senior, junior dan wanita kebangsaan mencapai kejayaan yang berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak di Malaysia.
“Bagi Misi pula, Dr Craig mahu mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia, meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.
“Dengan semua perancangan ini diharap ia mampu untuk menyediakan pasukan kebangsaan kita dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal yang terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia,” kata FAM.
Duncan yang akan memulakan tugas secara rasmi di Wisma FAM, bulan ini, adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun sejak dari 2009 hingga kini.
Beliau juga pernah menjadi Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) selama empat tahun dari 2014 hingga 2018.
Duncan bekerja dengan Sydney FC ketika mereka mereka memenangi kejuaraan Liga-A selain bersama Western Sydney Wanderers apabila mereka menjadi pasukan Australia pertama memenangi Liga Juara-Juara Asia pada 2014.
Berdasarkan pengalaman luas dan kepakarannya dalam bidang prestasi manusia, tugas Duncan di FAM adalah bertanggungjawab dalam mengetuai hal berkaitan prestasi tinggi, kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.
Pada 16 Disember lalu, FAM mengumumkan Peter Cklamovski juga dari Australia sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan.
Selasa lalu, badan induk itu mengumumkan pula Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad kebangsaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.