KUALA LUMPUR: Skuad badminton remaja negara memastikan dua pingat gangsa sudah berada dalam genggaman apabila beregu lelaki, Aaron Tai-Kang Khai Xing dan beregu wanita, Low Zi Yu-Dania Sofea Zaidi mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Nanchang, China, hari ini.
Aaron-Khai Xing yang tampil sebagai pilihan pertama kejohanan mara ke kelompok empat terakhir itu selepas mengetepikan cabaran gandingan Indonesia, Dexter Farrell-Wahyu Agung Prasetyo 23-21, 21-7 dalam aksi suku akhir di Pusat Sukan Antarabangsa Nanchang.
“Untuk perlawanan hari ini kami agak bergelut untuk mendapatkan momentum di set pertama tetapi pada set kedua kombinasi kami lebih baik.
“Kami sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain dan mendengar arahan daripada jurulatih,” kata Aaron kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Aaron-Khai Xing akan membuat perhitungan dengan pilihan keempat dari China, Chen Yong Rui-Chen Zhe Han bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.
Perlawanan esok memberi peluang untuk Aaron memperbaiki pencapaiannya dalam kejohanan berkenaan selepas terkandas di separuh akhir bersama gandingannya Bryan Goonting pada edisi tahun lalu di Washington, Amerika Syarikat.
Sementara itu, saingan beregu wanita menyaksikan Zi Yu-Dania Sofea turut melangkah ke separuh akhir selepas mengejutkan pilihan keenam yang juga rakan senegara, Ong Xin Yee-Carmin Ting 21-11, 21-16 dalam aksi suku akhir.
Mereka bagaimanapun berdepan ujian getir pada aksi separuh akhir esok apabila dijadual bertemu wakil tuan rumah yang juga pilihan pertama, Chen Fan Shu Tian-Liu Jia Yue.
Dalam pada itu, Malaysia terus kempunan untuk menamatkan kejuaraan dalam acara perseorangan lelaki selepas wakil terakhir negara dalam acara itu, Muhammad Faiq Haziq Masawi terkandas di suku akhir.
Faiq yang mencipta kejutan menewaskan pemain nombor tiga dunia dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bharath Lateesh di pusingan keempat semalam terpaksa akur tunduk kepada pilihan kedua dari Indonesia, Moh Zaki Ubaidillah 18-21, 15-21.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia merangkul gelaran dunia dalam acara perseorangan lelaki adalah menerusi Zulfadli Zulkifli pada edisi 2011 di Taiwan.
Nasib sama turut dialami beregu campuran negara, Datu Anif Datu Asrah-Dania Sofea yang ditunjukkan jalan keluar di suku akhir.
Gandingan itu memberi tentangan sengit kepada pilihan kedua yang juga wakil tuan rumah, Lin Xiang Yi-Lui Yuan-Yuan sebelum tunduk dalam pertarungan tiga set 21-17, 14-21, 12-21.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.