KUALA NERUS: Safawi Rasid dan Akhyar Rashid kini sah menyertai Terengganu FC (TFC).
Kedua-dua pemain menandatangani kontrak sebagai pinjaman dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi tempoh satu musim dalam Liga Malaysia 2024/2025.
Safawi atau nama penuhnya Muhammad Safawi Rasid, 27, adalah pemain tempatan yang berasal dari Dungun.
Bersama TFC, Safawi akan menyarung jersi bernombor 11.
Ia juga kali kedua Safawi berada di bawah tunjuk ajar Tomislav Steibruckner dengan yang pertama ketika bersama T-Team FC pada tahun 2015.
Manakala Muhammad Akhyar Abdul Rashid, 25, dilihat sebagai calon pemain sayap yang tepat untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan pemain import TFC musim lepas, Sony Norde.
Akhyar bakal menyarung jersi nombor 33 dan pemain yang berasal Alor Star itu adalah salah seorang pemain skuad kebangsaan yang telah mempamerkan aksi cukup menyakinkan dalam saingan Piala Asia baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, pihak pengurusan TFC memaklumkan hanya menggunakan enam pemain import musim baharu ini walaupun pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan 10 kuota import boleh didaftarkan kepada pasukan ‘terpilih’.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.