KOTA KINABALU: Sabah FC dan Terengganu FC terpaksa akur berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas di sini, malam tadi.
Jaringan tunggal kedua-dua pasukan terhasil pada babak pertama dengan didahului tuan rumah menerusi penyerang baharunya, Joao Pedro Boeura Duarte pada minit kesembilan.
Jaringan penyamaan Terengganu pula dihadiahkan Ismaheel Akinade pada masa tambahan separuh masa pertama.
Terdahulu, selepas mendahului dengan jaringan pada minit kesembilan, Sabah terus melancarkan serangan untuk menambah jaringan namun dinafikan pasukan pelawat.
Sebaliknya, pasukan pelawat membuat kejutan apabila mencipta gol penyamaan sejurus masa tambahan lima minit diberikan pengadil pada separuh masa pertama.
Gol Akinade itu gagal dibaca dengan baik penjaga gol Sabah, Damien Lim menyebabkan gawang tuan rumah bolos.
Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan dilihat bermain lebih agresif namun masing-masing gagal mendapatkan gol kemenangan.
Pemain tuan rumah juga dilihat banyak kehilangan bola berikutan hantaran yang kurang kemas menyebabkan mereka kurang berpeluang melakukan serangan berbahaya.
Situasi itu menyaksikan keputusan seri 1-1 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.