KOTA KINABALU: Sabah FC terus mengekalkan rentak kemenangan selepas menewaskan Kelantan United FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini.
Kemenangan itu membolehkan Sabah mengekalkan kedudukan selaku pendahulu liga dengan mengutip enam mata, sama mata dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), tetapi dipisahkan dari segi perbezaan jaringan.
Gol pertama skuad Sang Badak dijaringkan melalui sepakan penalti yang disempurnakan Darren Lok pada minit ke-22 selepas Daniel Ting dijatuhkan di kawasan kotak penalti Kelantan United.
Berselang empat minit kemudian, penyerang dari Korea Selatan, Park Taesu menambah satu lagi gol hasil hantaran rakan di kawasan kotak penalti Kelantan United, meletakkan Sabah di hadapan dengan 2-0 pada minit ke-26.
Kedudukan itu kekal hingga tamat separuh masa yang membolehkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee melangkah dengan lebih yakin untuk meneruskan cabaran pada babak kedua.
Skuad Badak hanya memerlukan seminit selepas babak kedua bermula untuk menambah gol apabila pemain import dari Portugal, Telmo Castanheira menanduk masuk hantaran Daniel Ting pada minit ke-46.
Pemain import dari Korea Selatan. Kwang Ming Ko, yang masuk sebagai pemain gantian hampir menjaringkan gol keempat tetapi sepakan kencangnya sedikit tersasar ketika penjaga gol Kelantan United, Ahmad Asyraaf Omar sudah keluar dari posisinya pada minit ke-64.
Kelantan United bagaimanapun mendapat jaringan sagu hati hasil sepakan percuma yang disempurnakan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-92.