Tumpuan :
Sukan

Sabah julang Piala Razak kategori wanita, kejutkan juara bertahan di perlawanan akhir

BUKIT JALIL: Pasukan Sabah membuat kejutan di perlawanan akhir Piala Razak kategori wanita dengan meranapkan impian juara bertahan Selangor untuk merangkul gelaran keempat.

Di atas kertas, Selangor menjadi pilihan berbekal kejayaan menjuarai edisi 2017, 2018 dan 2022 di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, tetapi keinginan wakil Borneo itu nyata lebih tinggi untuk bergelar pemenang.

Dibimbing Ikmal Abdul Jabar, Selangor seakan menepati ramalan mengecapi kejayaan dengan mendahului minit (m) keempat, apabila Ellya Amanina Ellias menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Sabah kemudian menyamakan kedudukan pada suku kedua, dari berpunca gol padang Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun m-18.

Juara bertahan itu tertekan selepas ditembusi lawan kali kedua menyaksikan Cyrachilld Rojos menghasilkan gol padang m-38.

Barisan Hasrul Jideh itu kemudian kental mengekang cubaan Selangor bangkit, sehinggalah keputusan 2-1 kekal di penghujung perlawanan.

Sabah bangga mengesahkan gelaran  Piala Razak sulung mereka pada saingan edisi kelapan, dengan Selangor menelan kepahitan tewas di perlawanan akhir buat kali ketiga.

Loading...
Terkini