MAKASSAR: Sabah FC terus menampilkan kelas tersendiri apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut pada saingan Piala AFC.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menjadikan kelab Indonesia PSM Makassar mangsa kedua apabila menang besar 5-0 di arena lawan malam ini.
Sabah mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan penyerang kebangsaan Darren Lok yang meledak seawal minit ke-6 diikuti gol menerusi Gabriel Peres, sembilan minit sebelum rehat.
Seminit selepas perlawanan bersambung, Darren terus menampilkan ketajaman tindakan penyudahnya menjadikan kedudukan 3-0.
Tuan rumah terus tertekan apabila pemainnya Reza Arya Pratama dilayangkan kad merah pada minit ke-57.
Kesempatan yang pantas diambil Sabah FC untuk meneruskan penguasaan.
Seorang lagi pemain kebangsaan, Stuart Wilkin menambah gol keempat pada minit ke-73, sebelum Farhan Roslan memastikan kemenangan 5-0 Sabah FC pada masa kecederaan.
Pada perlawanan pertama, Sabah menewaskan kelab Singapura, Hougang United FC, 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Dua kemenangan ini menyaksikan Sabah FC menerajui Kumpulan H dengan enam mata.
Pada satu lagi perlawanan malam ini, Hougang yang beraksi di tempat sendiri, mengalahkan kelab Vietnam, Haiphong FC 2-1.
Pada aksi ketiga 24 Oktober ini, Sabah FC berdepan Haiphong di arena lawan.