![](https://media.buletintv3.my/2023/06/JkmQYZ3U-BULETIN-TV3-4.jpg)
KOTA BHARU: Sabah FC merakam kemenangan selesa 3-0 ke atas Kelantan United dalam aksi ke-15 Liga Super yang dimainkan semalam.
Dua pasukan yang berbeza taraf kedudukan carta, Kelantan United dan Sabah FC bertemu di Stadium Sultan Mohd ke-4.
Menghuni tangga kelima, pelawat yang turun tanpa jurulatih Datuk Ong Kim Swee di bangku simpanan bermula dengan baik apabila mendahului pada minit ke-23 hasil penyudah Saddil Ramdani.
Tuan rumah yang berada di posisi kedua tercorot dikalangan 14 pasukan kian tertekan selepas ketinggalan 0-2 di babak pertama menerusi jaringan Stuart Wilkin di masa kecederaan.
Hasrat untuk melakukan kebangkitan di separuh masa kedua terus lebur menyaksikan giliran Baddrol Bakhtiar mencatat nama sebagai penjaring gol ketiga perlawanan.
Keputusan 3-0 itu menamatkan rentak dua kekalahan berturut-turut Sang Badak yang mengutip mata ke-27 hasil lapan kemenangan.
Kijang Hijau pula mengalami kekalahan ketiga dalam lima aksi terakhir seterusnya kekal dengan enam mata dan gagal memintas Kuching City yang mempunyai kelebihan jaringan di posisi ke-12.