PETALING JAYA: Sabah FC meneruskan rentak cemerlangnya mara ke separuh akhir Piala AFC zon Asean selepas menumpaskan kelab Singapura, Hougang United 4-1 di Stadium Jalan Besar di Singapura malam ini.
Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu jelas tidak kekok beraksi di atas padang rumput tiruan, sebaliknya tuan rumah lebih tertekan menyaksikan mereka ketinggalan seawal minit ke-16 menerusi gol sendiri Nauki Kuriyama selepas cuba menghalang hantaran lintang Daniel Ting.
Sebaik jaringan itu terhasil, perlawanan terpaksa dihentikan seketika ekoran hujan lebat, namun ia tidak mengganggu momentum Sabah apabila meraih gol kedua hasil sepakan penalti Darren Lok seminit sebelum babak pertama berakhir.
Lima minit selepas perlawanan bersambung, Sabah mengukuhkan kedudukan, kali ini hasil rembatan padu penyerang dari Brazil, Ramon Machado.
Belum puas, Sabah meneruskan asakan, namun Hougang lega beberapa percubaan yang dilakukan pelawat , tiang dan palang gol menjadi penyelamat.
Sehinggalah minit ke-77, menyusul gol keempat Sabah juga hasil gol sendiri seorang lagi pemain pertahanan Hougang, Anders Aplin.
Tuan rumah akhirnya berjaya juga mendapatkan gol sagu hati menerusi jaringan Gabriel Quek pada masa kecederaan.
Berbaki satu perlawanan menentang kelab Indonesia, PSM Makassar di Stadium Likas, 14 Disember, Sabah unggul di tangga teratas, mengumpul 12 mata sekaligus bergelar juara Kumpulan H.
Manakala PSM dan Hai Phong dari Vietnam masing-masing mengumpul tujuh mata dan Hougang satu mata.
Pada satu lagi perlawanan Kumpulan H hari ini, PSM dan Hai Phong terikat 1-1.