Tumpuan :
Sukan

Sabah FC intai tiket Piala AFC, harap JDT bergelar juara

Pertahanan Sabah FC Gerald Gadit cuba menyekat gerakan Arif Aiman pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia. Foto: BERNAMA

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

ISKANDAR PUTERI: Sabah FC masih menyimpan hasrat untuk mengisi slot ke saingan Piala AFC musim depan, itupun sekiranya Johor Darul Ta’zim, JDT bergelar juara Piala Malaysia pada musim ini.

JDT mengisi slot ke saingan Liga Juara-Juara Asia selaku juara Liga Super, sementara Terengganu FC turut meraih tiket ke saingan Piala AFC selepas JDT turut menjulang Piala FA.

Dan sekiranya skrip sama berulang, JDT bergelar juara Piala Malaysia, slot kedua Piala AFC akan diberikan kepada pasukan tangga ketiga Liga Super iaitu Sabah.

“Tidak banyak yang saya boleh minta kepada pemain-pemain saya, terutamanya dalam kondisi ini dimana ramai pemain kita cedera dan tidak dapat bermain, namun, berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia, pe amat tempat ketiga Liga Super dan layak ke suku akhir Piala FA, saya rasa peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Kita perlu bermula di sini, bagi saya ini adalah permulaannya, dan saya percaya musim depan, kita akan tampil dengan lebih kuat.

“Bila bermain dengan pasukan kuat seperti JDT, sudah tentu banyak perkara yang kita pelajari, terutamanya pemain-pemain muda, mereka perlu belajar bagaimana untuk bermain di tahap sebegini, sekiranya kita layak bermain di Piala AFC, inilah tahap permainannya.

“Seperti yang saya katakan, menentang pasukan kuat seperti JDT, jika hilang tumpuan walaupun hanya seketika, kita akan dihukum dan inilah pengajarannya,” kata Datuk Ong Kim Swee selepas perlawanan.

Sabah menamatkan kempen Liga Super di kedudukan ketiga selepas mengumpul 42 mata, dipintas Terengganu pada perlawanan terakhir liga.

Dengan JDT membawa misi mahu menebus kekecewaan terlepas untuk menjulang Piala Malaysia musim lalu, ia secara tidak langsung turut membuka ruang buat Sabah mengintai slot ke Piala AFC selepas peluang awal diambil Terengganu.

Loading...
Terkini