KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menyerahkan kepada pengurusan Sabah FC untuk melantik jurulatih sementara bagi mengendalikan skuad Sang Badak.
Ia berikutan keputusan mengejut Datuk Ong Kim Swee menamatkan kontrak sebagai ketua jurulatih pasukan itu yang dimaklumkan menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Presiden SAFA, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pelantikan pengendali sementara itu akan diputuskan pada mesyuarat pengurusan Sabah FC dalam masa terdekat.
Katanya, setakat ini belum ada nama pengganti dicadangkan kepada Sabah FC bagi mengambil alih tugas yang ditinggalkan Kim Swee, namun seorang ‘caretaker’ bakal dilantik.
“Belum ada (pengganti) dan akan dilantik ‘caretaker’ buat sementara waktu dalam masa terdekat selepas pengurusan Sabah FC bermesyuarat kelak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan mengejut Kim Swee tidak meneruskan khidmat bersama Sabah FC apabila tempoh kontraknya berakhir bulan ini.
Sebelum ini, Kim Swee ditawarkan tambahan kontrak hingga tamat aksi Liga Super musim ini seperti dipersetujui SAFA dan Sabah FC.
Ketika ini Sabah FC tiada penolong jurulatih selepas penyandang tugas itu sebelum ini, Alto Linus dilantik sebagai ketua jurulatih Sabah FC II.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah, berkata SAFA menerima keputusan yang dibuat Kim Swee itu walaupun sebelum ini menawarkan agar beliau terus bersama Sabah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.