comscore
Tumpuan :
Sukan

Olimpik Paris: Rusuhan penonton pada aksi Maghribi-Argentina

Foto: Reuters

PERANCIS: Kekecohan dan kekeliruan berlaku pada hari pertama pertandingan bola sepak lelaki Sukan Olimpik apabila Maghribi menewaskan Argentina 2-1 tetapi hanya selepas gol penyamaan lewat pasukan Amerika Selatan itu dibatalkan dan minit akhir dimainkan dalam stadium kosong susulan masalah penonton.

Argentina merasakan mereka terselamat dalam Kumpulan B di Saint-Etienne dengan keputusan seri 2-2 apabila Cristian Medina menyumbat gol pada minit ke-16 masa kecederaan.

Namun ketika pemain mereka meraikannya, botol dan plastik dibaling dari tempat duduk dan beberapa penonton menceroboh padang sekali gus menyaksikan pengadil segera meniupkan wisel.

Kedua-dua pasukan meninggalkan padang permainan tetapi pengadil belum meniup wisel penamat dan keputusan perlawanan itu tidak pasti hingga kedua-dua pasukan tampil dua jam kemudian untuk menghabiskan tiga minit terakhir di stadium yang sudah dikosongkan.

Gol Medina akhirnya dibatalkan kerana ofsaid susulan semakan VAR dan Maghribi meraih tiga mata.

Ia satu permulaan yang memalukan bagi aksi sukan pada temasya Paris 2024, dan hari yang buruk buat Argentina, yang mana pemainnya diejek penonton ketika muncul ke padang dan ketika lagu kebangsaan dimainkan.

Ia hadir selepas pemain Argentina menyanyikan lagu berbaur perkauman susulan kejayaan mereka pada Copa America baru-baru ini.

“Ia satu sarkas,” kata jurulatih Argentina, Javier Mascherano.

“Dengan semangat Olimpik, penganjuran perlu mencapai standard. Pada masa ini ia tidak, malangnya.”

Argentina mengintai peluang untuk memenangi pingat emas bola sepak lelaki buat kali ketiga selepas kejayaan pada 2004 dan 2008 tetapi anak buah Mascherano ketinggalan 2-0 berikutan dua gol Soufiane Rahimi.

Kapten Maghribi, Achraf Hakimi, pertahanan kanan Paris Saint-Germain, mengumpan kepada Rahimi bagi gol pembukaan pada masa kecederaan babak pertama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini