JAKARTA: Enam individu termasuk polis dan penganjur perlawanan berdepan tindakan undang-undang susulan kejadian rusuhan yang pada acara bola sepak yang mengorbankan sekurang-kurangnya 131 orang, kata ketua polis negara pada Khamis.
Kejadian pada Sabtu lalu di wilayah Malang, Jawa Timur adalah antara kejadian rusuhan terburuk seumpamanya, apabila ratusan penyokong yang cuba melarikan diri dari rusuhan di stadium dan tembakan gas pemedih mata dilepaskan polis, dan situasi itu diburukkan lagi apabila beberapa pintu keluar dalam keadaan berkunci.
Ketua Polis Listyo Sigit Prabowo memberitahu sidang media bahawa penganjur dan polis antara individu yang disiasat dan lebih ramai lagi akan didakwa.
Suspek termasuk tiga pegawai polis kerana menggunakan gas pemedih mata, ketua jawatankuasa penganjur dan ketua pegawai keselamatan kelab tuan rumah, Arema FC.
Polis berkata, pegawai kelab tidak mengikut peraturan keselamatan dan membenarkan jumlah penonton melebihi kapasiti stadium.
Menurut polis, pintu keluar di mana orang ramai berpusu-pusu keluar adalah terlalu sempit untuk dilalui, manakala persatuan bola sepak negara itu mendakwa beberapa pintu keluar adalah berkunci.
Kerajaan Indonesia sebelum ini menubuhkan pasukan khas untuk mengesan dalang kejadian itu yang disifatkan terburuk selepas insiden di Peru pada 1964 yang mengorbankan lebih 300 nyawa.
Siasatan itu selepas Presiden Joko Widodo mengarahkan audit terhadap semua stadium di negara itu bagi memastikan ia mematuhi peraturan keselamatan, sambil menambah bahawa pintu berkunci dan tangga yang curam menjadi faktor insiden di stadium di Malang itu.—HARIAN METRO