comscore
Tumpuan :
Sukan

RTG gugur skuad hoki lelaki dan beregu campuran

Skuad hoki lelaki – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki lelaki kebangsaan dan dua beregu badminton campuran digugurkan daripada Program Road to Gold (RTG) yang diumumkan hari ini.

Penyenaraian pasukan hoki negara sebelum ini dibuat selepas menduduki ranking kesembilan dunia.

Bagaimanapun ranking skuad kebangsaan jatuh ke tempat ke-12 dan gagal memenangi pingat emas Sukan Asia, yang menawarkan tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris.

“Jawatankuasa RTG bersetuju untuk menyenaraikan semula pasukan hoki negara, jika prestasi mereka melepasi jangkaan dan layak ke Sukan Olimpik pada kejohanan kelayakan selepas ini, iaitu sama ada di Muscat, Oman (15-21 Jan) atau di Valencia, Sepanyol (13-21 Jan) tahun depan,” kata Penyelaras program RTG, Datuk Stuart Ramalingam pada sidang media di sini, hari ini.

Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai – Foto: NSTP

Manakala pasangan beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai digugurkan selepas penilaian semula terhadap prestasi mereka.

Kedua-dua pasangan itu kini terkeluar daripada ranking kelayakan ke Paris, dengan Soon Huat-Shevon di kedudukan ke-16 dunia, manakala Kian Meng-Pei Jing, ke-24.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing – Foto: NSTP

Stuart berharap keputusan itu akan memotivasikan mereka dalam setiap pertandingan kelayakan dan pertandingan yang disertai, seterusnya menempah slot ke Paris.

Sementara itu, kemasukan ke program itu kali ini hanya melibatkan atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan, yang kini di ranking ke-10 Kelayakan Olimpik.

“Aniq baru berusia 21 tahun, kami melihat beliau berpotensi besar untuk memperbaiki angkatan peribadinya pada 291 kilogram,” katanya.

Stuart berkata, seorang lagi pemenang pingat emas Hangzhou, Qabil Ambak Mahamad Fathil dalam sukan equesterian, tidak dimasukkan ke dalam RTG kerana atlet tersebut tidak berhasrat untuk bertanding pada kelayakan ke Sukan Olimpik.

RTG merupakan satu progam atlet elit yang dilancarkan pada Mac, dalam usaha memenangi pingat emas Sukan Olimpik negara yang pertama di Paris dan Los Angeles.

Senarai terkini atlet RTG ialah Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei, Ng Tze Yong, Lee Zii Jia, Ong Yew Sin, Teo Ee Yi (badminton), Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal), Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri (terjun) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).

Loading...
Terkini