comscore
Tumpuan :
Sukan

Rosman kembali sertai BAM sebagai ketua jurulatih beregu wanita

Rosman berkata beliau teruja untuk memulakan persiapan skuad kebangsaan. Kredit: Facebook BAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pelantikan Rosman Razak sebagai ketua jurulatih beregu wanita negara, sekali gus menjawab desas-desus mengenai kepulangan individu berpengalaman itu untuk memimpin skuad negara.

BAM dalam kenyataan memaklumkan Rosman, 48, akan memulakan tugas di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada 5 Nov ini.

“Kami mengalu-alukan Rosman kembali bersama pasukan kejurulatihan. Pengalaman beliau bersama skuad kebangsaan amat berharga dan kami percaya kepimpinannya akan memainkan peranan penting dalam memacu pasukan beregu wanita ke tahap lebih tinggi,” kata Pengarah Kejurulatihan BAM Rexy Mainaky.

Rosman yang mempunyai pengalaman hampir dua dekad membimbing pemain beregu akan bekerjasama rapat dengan Rexy, jurulatih skuad senior Ching Kai Feng dan jurulatih remaja Amelia Anscelly.

Matlamat utama mereka ialah untuk mengukuhkan dan memajukan pasukan beregu wanita.

Sementara itu, Rosman berkata beliau teruja untuk memulakan persiapan skuad kebangsaan.

“Saya berbesar hati untuk kembali ke BAM dan teruja untuk menyahut cabaran ini. Pasukan beregu wanita mempunyai potensi besar dan saya tidak sabar untuk membina kemajuan yang dicapai selama ini,” katanya dalam kenyataan sama.

Rosman yang kontrak bersama BAM tidak diperbaharui pada 2020, kemudiannya berhijrah ke Filipina dan sedang melatih beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini