comscore
Tumpuan :
Sukan

Ronaldo dilayang kad merah

 

Penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo (dua dari kanan) dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohammed Al Hoaish selepas bertembung dengan pemain Al-Hilal, Ali Al-Bulayhi pada separuh akhir Piala Super Saudi di Abu Dhabi awal pagi tadi. – Foto REUTERS

ABU DHABI: Kapten Al-Nassr, Cristiano Ronaldo dibuang padang pada lewat permainan ketika pasukannya tumpas 1-2 di tangan jiran tetangga Al-Hilal pada separuh akhir Piala Super Saudi yang tegang di Abu Dhabi awal pagi tadi.

Penjaring gol terbanyak Portugal itu dilayangkan kad merah serta-merta empat minit sebelum tamat kerana menyiku pemain pertahanan Al-Hilal, Ali Al-Bulayhi ketika pasukannya ketinggalan 2-0.

Kapten Al-Nassr, Cristiano Ronaldo (kanan) menyiku pertahanan Al-Hilal, Ali Al-Bulayhi pada separuh akhir Piala Super Saudi di Stadium Mohammed bin Zayid, Abu Dhabi awal pagi tadi sebelum dilayangkan kad merah oleh pengadil Mohammed Al Hoaish. – Foto REUTERS

Al-Hilal kendalian Jorge Jesus membuka tirai jaringan pada minit ke-62 apabila Salem Al-Dawsari merembat masuk bola ke penjuru kanan gol susulan tampanan Sergej Milinkovic-Savic selepas satu serangan balas pantas.

Penyerang Brazil, Malcolm menggandakan kedudukan pada minit ke-72 dengan satu tandukan cantik selepas hantaran tinggi Michael dari kanan menemui rakan senegaranya yang tidak dikawal di tengah kotak penalti.

Bekas penyerang Liverpool, Sadio Mane kemudiannya merapatkan jurang buat Al-Nassr pada masa kecederaan berikutan hantaran Abdulrahman Ghareeb.

Al-Hilal akan memburu rekod kejuaraan keempat pada aksi final awal pagi Jumaat ini apabila mereka berdepan kelab Karim Benzema, Al-Ittihad, yang terdahulu menyingkirkan Al-Wehda 2-1 pada satu lagi aksi separuh akhir. – REUTERS

Loading...
Terkini