KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pasukan Kebangsaan, Robert Douglas Friend mengakui berbesar hati apabila menjadi sebahagian daripada revolusi Harimau Malaya dalam struktur organisasi baharu pasukan kebangsaan.
Menerusi kenyataan yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), bekas pemain kebangsaan Kanada yang lebih dikenali sebagai Rob Friend itu jelas teruja dengan revolusi yang dibawa oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam memperkasa skuad Harimau Malaya.
“Ini adalah satu peluang yang baik buat diri saya. Saya sangat teruja untuk menyertai revolusi skuad Harimau Malaya. Malaysia umpama sang gergasi yang sedang tidur.
“Saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan FAM, pemegang taruh, seterusnya bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negara ini,” katanya.
Rob Friend yang diumumkan sebagai CEO Harimau Malaya pada 31 Disember lalu melaporkan diri di Wisma FAM, semalam bersama Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan.
Beliau hadir dengan portfolio hebat menerusi pembabitannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014.
Selain itu, Rob Friend turut mengucapkan penghargaan kepada FAM dan Tunku Mahkota Ismail yang membuka peluang buatnya sambil melihat projek revolusi Harimau Malaya sebagai peluang yang unik buat dirinya membangunkan bola sepak di Malaysia.
“Apa yang membuatkan saya teruja adalah visi FAM dan visi Tunku Mahkota Ismail. Oleh sebab itulah, saya berada di sini. Baginda adalah orang yang paling berwawasan yang pernah saya temui.
“Ketika saya bertemu dengan Tunku Mahkota Ismail, baginda menjelaskan mengenai projek revolusi skuad Harimau Malaya. Pada pendapat saya, ini adalah projek paling mengujakan dalam industri bola sepak global.
“Saya turut melihat bahawa ini adalah peluang yang unik untuk membangunkan bola sepak di Malaysia,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.