KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bekas pemain kebangsaan Kanada dan kelab Eintracht Frankfurt, Robert Douglas Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Rob Friend bakal menjadi peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
FAM dalam kenyataan memaklumkan Rob Friend banyak terbabit dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab.
Badan induk itu berkata, ia termasuk pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.
“Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.
“Rob Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap.
“Beliau akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025,” kata FAM.
Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Kanada, Rob Friend adalah figura dengan portfolio cemerlang dalam pengurusan bola sepak. Selepas bersara sebagai pemain pada Disember 2014, beliau aktif sebagai rakan kongsi pengurusan DRG Investment Group dan pengasas Toca Football Canada. Bermula 2019, Friend juga terlibat dalam SixFive Sports Fund, yang fokus kepada pelaburan dalam kelab bola sepak, stadium, dan pembangunan kemudahan latihan.
Antara pencapaiannya, Friend merupakan pengasas bersama Canadian Premier League (CPL), yang berjaya meningkatkan nilai liga itu daripada sifar kepada AS$300 juta (RM1.3 bilion) dalam enam tahun. Beliau juga pernah menjadi CEO Pacific FC (2019–2022) dan kini presiden Vancouver FC, dua kelab terkemuka dalam CPL.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.