Oleh: Syakirah Zulkifly
KUALA LUMPUR: Penyerang import kelahiran Jordan, Reziq Bani Hani menjadi pemain pertama meninggalkan Selangor FC ketika saingan jendela perpindahan kedua yang akan berakhir pada 22 September ini.
Reziq yang menandatangani kontrak bersama The Red Giant pada awal musim ini, hanya beraksi setengah musim dengan membuat lima penampilan serta satu jaringan.
Ia adalah tamparan hebat buat skuad kendalian Nidzam Jamil yang bakal beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2 pada 19 September depan.
Pemain berusia 22 tahun itu membuat keputusan meninggalkan Selangor untuk menyertai sebuah kelab di Jordan.
Selangor FC dalam satu kenyataan di media sosial merakamkan ucapan terima kasih atas khidmatnya sejak awal musim 2024/2025 selain mengucapkan selamat maju jaya buat Reziq yang telah memilih membawa haluan baharu.
Selangor FC mengumumkan perkara itu selepas tamat aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 di antara Palestin dan Jordan.
Reziq antara pemain yang berada dalam senarai bangku simpanan skuad The Chivalrous Ones.
Jordan mencatat kemenangan 3-1 untuk berada di kedudukan teratas kumpulan B setakat ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.