KUALA LUMPUR: Rezeki tidak pernah salah alamat. Impian pelumba basikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom ingin membawa ibunya menunaikan umrah akhirnya menjadi realiti.
Impian pelumba berusia 28 tahun itu ditunaikan oleh sebuah syarikat swasta yang menawarkan pakej umrah kepada Shah Firdaus bersama kedua-dua ibu bapanya pada bila-bila masa.
“Saya akan pergi umrah pada tahun ini juga. Tanah Suci tempat terbaik untuk saya bertenang. Sudah beberapa hari saya tidak tengok media sosial dan tak mahu ingat perkara lepas.
“Kini saya mahu melangkah ke hadapan..jadi saya rasa tempat terbaik adalah dengan saya menunaikan umrah. Saya akan bincang dengan John Beasley sebab selepas ini ada Kejohanan Dunia di Denmark.
“Saya akan pertimbangankan semula sama ada akan sertai kejohanan itu atau sebaliknya,” katanya semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Shah Firdaus sebelum ini menyatakan tidak dapat menunaikan hasratnya itu selepas gagal meraih pingat emas dalam acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.