Tumpuan :
Sukan

Rexy dedah calon jurulatih baharu BAM

Mulyo (kanan) dan Jonassen antara calon bagi menggalas tugas selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki negara.

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan jurulatih dari Indonesia, Mulyo Handoyo dan Kenneth Jonassen dari Denmark antara calon yang dipertimbangkan badan induk itu untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih baharu perseorangan lelaki negara.

Perkembangan itu dikongsikan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang memaklumkan senarai calon sudah pun diserahkan kepada pihak pengurusan BAM.

Katanya, dia berharap ketua jurulatih baharu yang akan dilantik nanti boleh memulakan tugasnya selewat-lewatnya pada 1 Disember depan bagi membantu pemain negara melakukan persiapan menghadapi Terbuka Malaysia pada Januari nanti.

“Ada beberapa calon, saya sudah serahkan senarai kepada pihak pengurusan untuk dibincangkan. Saya tidak boleh cakap Mulyo atau Jonassen sudah sah tetapi nama mereka dipertimbangkan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di ABM di sini, hari ini.

Mulyo dan Jonassen adalah dua jurulatih yang memiliki reputasi besar dengan kedua-duanya pernah melahirkan juara Olimpik.

Mulyo pernah membimbing Taufik Hidayat memenangi pingat emas perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Athens 2004 dan gelaran dunia 2005, manakala Jonassen pernah membimbing Viktor Axelsen meraih emas Olimpik pertamanya di Tokyo pada 2021 selain turut membantu pemain Denmark itu memenangi gelaran dunia 2017.

Rexy memberitahu antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ketua jurulatih perseorangan lelaki yang baharu nanti adalah untuk meningkatkan kualiti pemain negara sebagai penyumbang mata kepada skuad kebangsaan bagi saingan Piala Thomas dan merangkul gelaran dalam kejohanan yang lebih tinggi seperti Super 500, 750 dan 1000.

Dalam pada itu, Rexy masih berteka-teki mengenai calon yang layak memikul tugas selaku ketua jurulatih beregu wanita negara.

Bagaimanapun, Rexy memberi gambaran individu itu adalah jurulatih yang berpengalaman luas.

Katanya, jurulatih itu ditawarkan kontrak sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan dijangka melaporkan diri selewat-lewatnya pada 1 Disember depan.

“Calon sudah ada, cuma saya tak boleh mendedahkannya. Saya faham apa yang anda mahukan, tetapi saya juga mahu anda faham komitmen saya kepada calon ini.

“Dia adalah seorang yang cukup berpengalaman, mempunyai pengetahuan dan cara berfikir yang baik khususnya untuk acara beregu,” katanya.

Pada masa sama, Rexy berharap kehadiran jurulatih baharu itu nanti dapat melahirkan lebih ramai beregu wanita seperti gandingan Pearly Tan-M Thinaah.

Sebelum ini, Pearly-Thinaah yang berjaya mara ke separuh akhir Olimpik Paris 2024 dibimbing bekas pemain kebangsaan, Hoon Thien How tetapi dia kini diletakkan selaku jurulatih skuad remaja selepas penstrukturan semula dilakukan oleh BAM.

Penstrukturan semula itu juga turut menyaksikan khidmat jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan yang sudah bersama BAM sejak 2009 bakal meninggalkan BAM, 31 Oktober ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini