Lima aksi bola sepak Liga Super berlangsung malam ini dan tumpuan pastinya terarah kepada pertemuan dua pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim, JDT menentang Sri Pahang FC.
Berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri jam 8.15 malam ini, ramai pemerhati bola sepak tempatan memilih JDT selaku pemenang.
Namun ketua jurulatih JDT Esteban Solari lebih beralas dalam memperkatakan peluang pasukannya memburu kemenangan kali ke-12 berturut-turut.
“Ia perlawanan penting bagi kami kerana menentang pasukan yang masih kekal dengan rekod tanpa kalah, kami juga akan berdepan lawan yang kerap menampilkan permainan yang berintensiti tinggi,” tegas jurulatih kelahiran Rosario, Argentina itu.
Selepas 11 perlawanan, JDT di tangga teratas mengumpul mata bersih 33 mata dan merekodkan 47 gol cuma dibolosi satu gol.
Bagi pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad, dia sedar JDT bukan calang-calang pasukan dengan memiliki pemain berkualiti di setiap posisi.
“Kita harus bijak memanfaatkan peluang yang ada dan tidak mempersiakannya, berdasarkan perancangan, ada perubahan kita lakukan dan berharap pemain mempamerkan semangat juang tinggi dan bermatian untuk mendapatkan keputusan positif,” kata lagenda bola sepak Singapura itu.
Apapun bukan rahsia lagi Sri Pahang berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim malam ini dalam situasi pincang.
Tiga pemain penjaga gol Izham Tarmizi Roslan dan dua pertahanan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Syazwan Andik tidak dapat diturunkan memandangkan mereka pemain pinjaman dari JDT.
Memburukkan keadaan Sri Pahang juga hampir pasti tidak dapat menurunkan 3 lagi tonggak Lucas da Silva, Nor Azam Azih dan Sergio Auguero lantaran kecederaan.
Bagi bekas pemain kebangsaan Nizaruddin Yusof, persoalan utama sekarang siapa menang atau kalah, tetapi sejauh mana kemampuan Sri Pahang memastikan JDT tidak berpesta gol, sebagaimana nasib yang menimpa beberapa pasukan yang bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini.