Tumpuan :
Sukan

Rehatkan Khairul Hafiz Jantan – Nazmizan

Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan.- Foto: Owee Ah Chun

Oleh: Abdullah Sani

PETALING JAYA: Rehatkan Khairul Hafiz Jantan, itu cadangan bekas pelari pecut negara Nazmizan Muhammad menjelang acara tumpuan 4x100m akhir yang dijadual berlangsung jam  9.25 malam ini di Stadium Olimpik Hangzhou.

Menurut Nazmizan, itu antara percaturan yang perlu dilakukan kuartet negara dalam memastikan saingan lebih bermakna dalam memburu sekurang-kurangnya pingat gangsa.

“Memandangkan Khairul masa semi final timing 10.63 saat, kena ambil langkah berani, rombak, sebab mereka pun dah selalu training bersama,” kata Nazmizan ketika dihubungi Buletin TV3.

Foto: Nazmizan Muhammad / Facebook

Tambah Nazmizan yang pernah beraksi pada acara 4x100m di Sukan Asia 2002 di Busan, dia melihat Muhammad Haiqal Hanafi mampu mengambil alih peranan Khairul.

Untuk rekod, Haiqal bergelar raja pecut Asia Tenggara apabila meraih emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina dengan kepantasan 10.35 saat, sekali gus mempertahankan pingat emas yang dimenangi Khairul Hafiz pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

“Khairul dah tak berapa fit dah, bagi dia rest, kita gunakan kepantasan Haiqal pulak,” tambah Nazmizan yang mencipta sejarah pada Sukan SEA 2003 di Hanoi apabila menang dua emas acara pecut 100 dan 200 meter.

Nazmizan mengakui tertarik dengan taktikal seteru utama, Thailand yang merehatkan pelari handalannya, Puripol Booson pada saingan semi final dan Nazmizan menjangkakan Thailand akan kembali menurunkan Puripol sebagai pelari ‘anchor’ pada aksi final.

Untuk itu, bagi Nazmizan, rombakan yang perlu dilakukan Malaysia ialah meletakkan Jonathan Nyepa sebagai pelari pertama, diikuti Muhammad Arsyad Md Saat pelari kedua dan Haiqal selaku pelari ketiga, manakala Muhammad Azeem Fahmi yang meraih gangsa 100 meter sebagai ‘anchor’.

Pada semi final’ Khairul Hafiz tampil selaku pelari pertama, diikuti Arsyad, Jonathan dan Azeem.

Muhammad Haiqal Hanafi

Bagaimanapun Nazmizan tidak berniat untuk ‘mengganggu’ percaturan jurulatih negara menjelang aksi final malam ini, cuma sekadar pandangannya yang pernah merasai debaran bersaing di saingan tertinggi, antaranya Kejohanan Remaja Dunia 1998 di Moscow dan Sukan Olimpik Athens 2004.

Memperkatakan penampilan Azeem yang dilihat mampu menggegar di pentas antarabangsa, kata Nazmizan, banyak yang perlu dilakukan.

“Support dari segi kewangan sebab sekarang dia base kat USA, study dan training di sana, jangan ganggu perancangan jurulatih dia kat sana, dalam masa sama kita biarkan Azeem seronok dengan apa yang dia lalui sekarang, jangan beri tekanan kat dia, trust the process,”  tegas Nazmizan.

Menjelang final 4×100 meter malam ini, berdasarkan catatan separuh akhir, Malaysia tampil ke-4 terpantas dengan masa 39.40 saat, manakala China berada di kedudukan pertama menerusi catatan 38.62 saat, Korea Selatan (38.75) dan Jepun (38.99).

Manakala pesaing serantau Malaysia, Indonesia (39.56), Thailand (39.57) dan Singapura (39.70) selain Taiwan  dengan masa 39,81 saat.

Loading...
Terkini