Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
PETALING JAYA: Skuad bimbingan Mohd Nidzam Jamil lega menyempurnakan misi dihalaman sendiri dalam kancah Asia apabila mengutip mata penuh malam ini.
Selangor FC berdepan tentangan liat wakil Filipina, Dynamic Herb Cebu di perlawanan kedua Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL Dua) menyaksikan jaringan tunggal Yohandry Orozco menjadi pemisah kedua-dua pasukan.
Pemain serangan dari Venezuela itu menolak masuk dari jarak dekat minit (m) ke-10 sebelum mempunyai deretan lagi peluang keemasan menggandakan kelebihan.
Ketumpulan penyudah Red Giants serta kekentalan benteng lawan menangkis serangan membuatkan ribuan penyokong setia tuan rumah yang berhujan hampa menanti tambahan jaringan.
Kemasukan pemain sayap Mohd Faisal Abdul Halim di babak kedua juga belum cukup untuk menggentarkan barisan bimbingan Memis Ozata.
Kemenangan sulung itu membantu Selangor FC menghuni tempat kedua carta Kumpulan H Zon Timur dengan mengumpul empat mata, dua mata dibelakang Jeonbuk Hyundai Motors dari Korea Selatan.
Kedua-duanya dijadual bertemu aksi seterusnya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 23 Oktober nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.