comscore
Tumpuan :
Sukan

Razlan Joffri, pengadil VAR aksi Perak-JDT di SSI direhatkan

Pengadil Razlan Joffri Ali (tengah) yang mengadili aksi perlawanan Liga Super antara Perak FC dan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hujung minggu lalu. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan merehatkan pengadil dan pengadil video bantuan pengadil (VAR) yang mengendalikan aksi Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak, Ahad lalu.

Tindakan berkenaan diambil badan induk itu selepas pengadil terbabit didapati gagal membuat keputusan yang tepat pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram menjelaskan Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil membuat analisis insiden situasi penalti pada minit ke-38 dan pergelutan pada minit ke-84 membabitkan tonggak JDT, Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak, Tommy Mawat Bada.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, analisis kedua-dua insiden itu dibuat berpandukan undang-undang permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan mendapati keputusan pengadil dan pengadil VAR kurang tepat.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM mengambil keputusan untuk merehatkan pengadil dan pengadil VAR terbabit sebanyak dua perlawanan daripada sebarang tugas pengadil di liga profesional dan liga amatur.

“Selain direhatkan bagi dua perlawanan, kedua-dua pengadil terbabit juga akan dirujuk ke fasa pemulihan dan pemurnian sebelum diberikan semula tugas pengadil,” katanya.

Peminat bola sepak tempatan dilaporkan mengkritik mutu pengadilan Razlan Joffri Ali kerana tidak melayangkan kad merah kepada Arif Aiman apabila bintang Harimau Selatan itu dilihat menumbuk Tommy.

Insiden bertumbuk membabitkan pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dan Tommy Mawat Bada dari Perak FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hujung minggu lalu. – FOTO: NSTP

Pemangku Sultan Johor yang juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail dalam laporan sebelum ini berpendapat pengadil sepatutnya melayangkan kad merah kepada Arif Aiman dan Tommy selepas didapati bergaduh pada pertembungan dua pasukan itu.

Malah, Tunku Mahkota Ismail berpandangan Perak juga sepatutnya diberikan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan pemain pertahanan JDT, Feroz Baharudin ke atas Clayton Silveira pada minit ke-38.

Selain itu, Sivasundaram menegaskan FAM memandang berat mengenai isu prestasi pengadil termasuk pengadil VAR dan tidak akan berkompromi dalam hal berkaitan dengan persembahan mereka.

Beliau menjelaskan badan induk itu mengambil pendekatan jenis hukuman yang berprinsipkan ‘pendidikan’ supaya pengadil yang menunjukkan prestasi lemah bukan sahaja dihukum, malah pada masa sama akan dididik dan diberi khidmat kaunseling untuk memastikan mereka kembali bertugas dengan lebih cemerlang.

“FAM juga perlu berhati-hati dengan tahap hukuman yang lebih lama dan berat kerana liga profesional negara menggunakan teknologi VAR, yang mana semua pegawai perlawanan yang dilantik wajib memiliki lesen VAR.

“Dalam situasi ini, hukuman berprinsip pendidikan amat sesuai untuk memastikan liga berjalan dengan lebih lancar. Polisi seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia diguna pakai di peringkat FIFA, AFC dan kebanyakan liga ternama di dunia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini