LONDON: Penyerang England, Marcus Rashford kekal bersama Manchester United apabila menyambung kontraknya hingga Jun 2028, umum kelab Liga Perdana Inggeris itu awal pagi tadi.
Rashford, yang tamat kontrak semasanya pada 2024, sudah melakukan hampir 360 penampilan bersama United sejak kali pertama diturunkan pada tahun 2016.
Dia menjaringkan 123 gol dalam semua pertandingan, 30 daripadanya pada kempen 2022-23 sekali gus membantu kelab itu berakhir di tangga ketiga.
“Saya menyertai Manchester United ketika masih budak berusia tujuh tahun dengan satu impian. Keinginan sama, bangga dan semangat untuk berjaya masih memacu saya setiap kali saya diberi peluang untuk menyarung jersi,” kata pemain berusia 25 tahun itu kepada laman sesawang kelab.
“Saya sudah meraih beberapa pengalaman menakjubkan di kelab ini, tetapi masih ada banyak yang perlu dikecapi dan saya berazam untuk memenangi lebih banyak trofi pada tahun mendatang.
“Saya boleh beri jaminan kepada anda saya akan melakukan apa sahaja untuk membantu pasukan melonjak ke tahap terbaik kami dan saya berasakan keazaman yang sama dalam bilik persalinan. Saya lebih teruja dengan masa depan kami di bawah pengurus ini.
“Pada musim 2022-23, Rashford memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan kelab itu dan Pemain Terbaik Tahunan pilihan pemain.
“Sejak dia menyertai akademi kami 18 tahun lalu, Marcus menjadi lambang apa yang diperlukan untuk berjaya sebagai pemain Manchester United,” kata pengarah bola sepak kelab itu John Murtough.
“Dia bukan sahaja seorang yang berbakat tetapi juga merendah diri, berdedikasi dan bersemangat.
“Ketika dia memasuki zaman kemuncaknya, kami sedar banyak lagi yang boleh disumbangkannya dan kami dapat lihat keghairahan Marcus untuk meraih tahap kejayaan tertinggi di Manchester United.” – REUTERS