comscore
Tumpuan :
Sukan

Ranking Harimau Malaya melonjak ke-135 dunia

Skuad Harimau Malaya kini menduduki ranking ke-135 dunia. -FOTO FACEBOOK FAM

KUALA LUMPUR: Kedudukan ranking skuad Harimau Malaya kembali melonjak apabila naik tiga anak tangga untuk berada di kedudukan ke-135 dunia.

Menerusi perkongsian yang dimuatnaik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, badan induk itu memaklumkan ranking terkini anak buah Kim Pan-gon naik daripada tangga ke-138 sebelum ini.

“Kemas kini terbaharu ranking Fifa (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) hari ini, Malaysia di tangga 135 dunia, berjaya melonjak naik tiga anak tangga berbanding 138 pada kemas kini terdahulu, 4 April 2024,” kata FAM.

Kenaikan ranking ini didorong aksi memberangsangkan skuad Harimau Malaya pada dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, awal bulan ini.

Dalam aksi itu, skuad negara mengikat Kyrgyzstan 1-1 di tempat lawan sebelum menang 3-1 menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun berjaya mengutip empat mata dalam dua aksi terakhir Kumpulan D itu, skuad negara tidak layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas sekadar menamatkan kedudukan di tangga ketiga kumpulan di belakang Oman dan Kyrgyzstan.

Meskipun perjalanan ke Piala Dunia lebur, pasukan kebangsaan masih mempunyai misi untuk layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut selepas ini dan akan mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac tahun depan.

Selepas ini, barisan kendalian Pan-gon akan menyertai Pestabola Merdeka dan Piala AFF yang dijangka berlangsung pada September dan November ini.

Kedua-dua saingan itu penting bagi memastikan kedudukan ranking Harimau Malaya terus meningkat dan berada pada balang satu menjelang majlis undian Kelayakan Piala Asia 2027 nanti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini