KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menjadi penyumbang terbesar kepada kedudukan Malaysia dalam ranking pertandingan kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Terbaru, Malaysia yang sebelum ini berada di kedudukan ke-12 naik dua anak tangga untuk berada di tangga ke-10 dalam kedudukan pertengahan pertandingan kelab AFC 2024/25.
Berdasarkan senarai kedudukan yang dikeluarkan AFC, Malaysia mengumpul 39.8 mata setakat ini, berjaya memintas Iraq dan Australia yang menghuni tangga ke-11 dan 12.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) turut menghargai sumbangan JDT dalam meningkatkan kedudukan Malaysia dalam pertandingan kelab AFC.
“Kejayaan Malaysia menduduki kelompok 10 terbaik Asia ini pastinya banyak dibantu menerusi sumbangan besar mata yang dikumpul hasil kejayaan JDT mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE).
“Ayuh kita berikan sokongan semoga JDT terus melangkah jauh dalam saingan ACLE musim ini. Selain itu, Selangor FC juga turut memainkan peranan menyumbang mata sebelum ini ketika beraksi dalam saingan peringkat kumpulan ACL2,” kata MFL di laman Facebook mereka.
JDT melangkah ke pusingan 16 terakhir ACLE selepas menamatkan saingan peringkat liga bagi Zon Timur di kedudukan ketiga di belakang dua kelab Jepun, Yokohama F Marinos dan Kawasaki Frontale.
Skuad Harimau Selatan seterusnya akan menentang gergasi Thailand, Buriram United dalam pusingan 16 terakhir dengan pasukan kendalian Hector Bidoglio akan bertandang ke gelanggang lawan terlebih dahulu, Selasa ini sebelum aksi di tempat sendiri, 11 Mac.
Kedudukan tiga teratas pertandingan kelab AFC 2024/25 ketika ini dikuasai Arab Saudi (109.1 mata), Jepun (102.2) dan Korea Selatan (90) manakala Thailand (53.1) dan Vietnam (34.5) di tangga kelapan dan 14.