Tumpuan :
Sukan

Rakyat Malaysia dilantik Pengurus Media Piala Dunia Bawah 17

 

PETALING JAYA: Satu kebanggaan buat Malaysia, arena  bola sepak khasnya apabila Christopher Raj dilantik sebagai Pengurus Media untuk Piala Dunia Bawah 17 tahun 2023 yang dijadual berlangsung dari 10 November  hingga 22 Disember.

Pelantikan itu menjadikan Christopher yang bertugas di Persatuan Bolasepak Malaysia selaku  Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media, sebagai  rakyat Malaysia kedua bertugas di pusingan akhir Piala Dunia, selepas Datuk Seri Windsor Paul yang juga adalah Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang pernah bertugas di venue akhir Piala Dunia Germany 2006.

Ketika dihubungi Buletin TV3,  Christopher, 45,  menjelaskan,  beliau diberi tanggungjawab untuk memastikan operasi media berjalan lancar bermula 5 Nov sehingga final di Stadium Manahan Solo (Surakarta) di Jawa tengah, satu daripada empat venue Piala Dunia B-17 itu.

Sebanyak 14 perlawanan akan diadakan di Stadium Manahan termasuk perlawanan akhir yang dijadual pada 2 Dis.

Tiga lagi venue yang akan menyaksikan kehebatan dan bakat pemain remaja dunia  adalah Stadium Gelora Bung Tomo di Surabaya, Jakarta International Stadium dan Stadium Si Jalak Harupat di Bandung.Christopher.

” Satu tanggungjawab yang cukup berat untuk saya, kerana bertugas sehingga perlawanan akhir, tetapi ia juga satu penghargaan untuk dilantik buat kali 4 untuk bertugas di Piala Dunia,” ujar Christopher yang juga  Ahli Jawatankuasa Media AFC.

Christopher berpengalaman hampir 20 tahun dalam arena  bola sepak kebangsaan,  pernah bertugas dalam beberapa kejohanan antarabangsa antaranya,  Piala Dunia Rusia 2018 dan Piala Dunia Qatar 2022.

Selain itu beliau turut diberi kepercayaan di Piala Dunia B-17 India 2017,  Piala Asia di Australia 2015, Piala Asia di UAE 2019, Piala Emas CONCACAF Amerika 2019, Liga Juara-Juara Asia 2021 dan 2022.

“Memang satu  penghormatan, bukan untuk diri saya sahaja, tetapi buat arena bola sepak Malaysia, saya akan berusaha  memberi yang terbaik sekaligus mengharumkan nama negara,” Christopher mengakhiri perkongsiannya.

Loading...
Terkini