Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
KUALA LUMPUR: Peluang masih terbuka buat lain-lain pemain untuk diserapkan dalam skuad “Bungaraya Sevens” sekiranya dapat menampilkan aksi memukau pada Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Julai ini.
Cuma, khidmat pemain-pemain ini hanya akan dapat disenaraikan pada kejohanan-kejohanan mendatang memandangkan Ragbi Malaysia, (MR) sudah pun menghantar senarai nama “long-list” untuk ke temasya Sukan Asia yang akan berlangsung di Hangzhou, China September nanti
Namun, dengan kesemua 18 pemain kebangsaan turut diberikan pelepasan untuk beraksi pada kejohanan ini, ia bakal menjadi kayu pengukur buat mereka sendiri, selain membuka ruang kepada pemain-pemain lain untuk tampil dengan lebih baik.
MR melepaskan kesemua 18 pemain skuad Bungaraya Sevens untuk menyertai pasukan negeri masing-masing selain tiada had dikenakan kepada pasukan-pasukan untuk membariskan pemain kebangsaan.
Sekaligus memberi bayangan awal kerancakan yang akan berlangsung sepanjang tiga hari Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan yang akan diadakan di Ipoh nanti.
“Saya rasa ia akan jadi lebih mencabar dan menarik, dan persoalan utama juga adakah pemain-pemain kebangsaan dapat memberikan persembahan baik pada kejohanan ini, itu cabaran yang harus mereka hadapi, dan dari segi positifnya, satu cabaran untuk semua pemain-pemain bersaing dengan pemain tempatan sedia ada.
“Memang ada peluang untuk pemain-pemain lain diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan tetapi bukan untuk temasya Sukan Asia, sebab untuk Sukan Asia, kita telah hantar ‘long-list’, dimana penghantaran nama itu telah tutup pada 31 Mei lalu, kita dah hantar 18 nama, tetapi ada pemain-pemain yang kita dapat tengok bakat yang baru akan datang, dia akan diserapkan untuk Kejohanan Trofi Siri 7 Sebelah Asia yang akan diadakan pada bulan Ogos, Oktober dan November nanti,” kata Pengarah Pertandingan MR, Mohd Fahmy Abdul Jalil.
Pada Kejohanan ragbi 7 Sebelah Kebangsaan nanti, sebanyak 50 pasukan akan mengambil bahagian untuk kesemua 4 kategori yang dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Bawah 20 Tahun Lelaki dan Bawah 20 Tahun Wanita.
Dan tumpuan pastinya terarah kepada undian bagi kategori lelaki terbuka yang menyaksikan penyertaan 15 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan.
Kumpulan A terdiri daripada Sabah, Pahang, juara bertahan, Terengganu dan tuan rumah, Perak, manakala kumpulan B terdiri daripada ATM, Kelantan, Putrajaya dan Sarawak.
Kumpulan C pula akan menyaksikan persaingan antara Kedah, Perlis, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, sementara hanya 3 pasukan akan bersaing dalam kumpulan D iaitu PDRM, Johor dan juga Selangor.
Pada edisi 2022, gelaran juara kebangsaan menjadi milik Terengganu yang menumpaskan Negeri sembilan menerusi kemenangan 19-0.
Kejohanan Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 Julai, bertempat di Ipoh, Perak dan turut menawarkan hadiah berjumlah RM30,000.