Oleh: Al Shaiful Nazib Talib
IPOH: Pasukan PDRM menempah tiket ke perlawanan akhir Ragbi Piala Agong 2023 selepas berjaya menundukkan Sabah pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Ragbi Perak di Ipoh.
Perlawanan yang berlangsung cukup sengit antara kedua-dua pasukan itu berakhir dengan kemenangan 27-17 memihak PDRM yang dipaksa bekerja keras selepas ketinggalan pada babak pertama.
Sabah jelas tidak mempersiakan peluang untuk mengutip mata dengan Charles Luke Mcalister dan Mohd Fairuz Abdul Rahman cemerlang menyudahkan tiga tendangan penalti untuk mendahului perlawanan dengan kedudukan 9-0.
Dan kedudukan Sabah tambah kukuh pada minit ke 30 selepas Stanly Sedry Stephen berjaya mencipta try untuk kedudukan semasa 14-0.
Tersentak dengan penguasaan Sabah, PDRM kembali bangkit selepas itu dengan K. Dinesvaran berjaya melakukan try sebelum Lee James Chapman menyempurnakan conversion, menutup babak pertama dengan kedudukan 14-7 memihak Sabah.
Bersambung selepas rehat, giliran PDRM mempamerkan dominasi dengan Chapman menambah 3 mata penalti.
Dan ia disusuli dengan try kedua PDRM, kali ini menerusi Muhd Azwan Zuwairi Mat Zizi disamping 2 mata conversion Chapman menyaksikan penguasaan kini memihak PDRM dengan kedudukan 17-14.
Sabah kembali mengikat kedudukan 17-17 selepas Fairuz menambah 3 mata penalti.
Namun, PDRM meneruskan rentak kemas mereka dengan Mohd Nurazman Ramli menambah satu lagi try pada minit ke 67.
Dan Chapman kemudiannya menutup aksi dengan tambahan 3 mata penalti, menyaksikan PDRM ceria melangkah ke pentas final menerusi kemenangan 27-17.
Kejayaan melangkah ke perlawanan akhir menyaksikan PDRM kini berpeluang menambah koleksi kejuaraan buat kali keempat selepas muncul juara pertama Piala Agong pada 1983 sebelum turut bergelar pemenang pada 1986 dan 1991.