SERDANG: Selepas memulakan kempen Kumpulan A, Kejuaraan Ragbi Asia (ARC) 2024 dengan langkah kiri minggu lalu, nasib terus tidak menyebelahi skuad Bunga Raya 15 sebelah (15s) ketika menentang Hong Kong di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), sebentar tadi.
Pada perlawanan kedua kumpulan itu, skuad ragbi negara sekali lagi berdepan kekalahan, tewas 6-70 dan ia adalah kekalahan kedua mereka selepas dimalukan Korea Selatan 5-55 minggu lalu sekali gus bakal menyaksikan aksi berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 21 Jun ini sebagai perlawanan ‘hidup mati’.
Pengendali pasukan, Farid Syazwan Abu Bakar berkata, pasukan sedar akan kekuatan Hong Kong yang mempunyai kelebihan terutama dari sudut fizikal.
“Sebelum aksi dengan Hong Kong, kami menyedari kelebihan mereka dari segi fizikal. Kita nampak jelas dan ketara perbezaan fizikal antara pemain kita dan mereka,” katanya kepada media selepas perlawanan.
Begitupun, Farid berkata dia sentiasa menitipkan kata semangat kepada pemain supaya tidak menjadikan kelemahan sebagai alasan dan terus berjuang demi negara.
“Tunjuk kebolehan apa yang mereka ada, walaupun ada kekurangan tetapi mempunyai hati mewakili negara. Saya bangga mereka tidak menunjukkan erti kalah walaupun tumpas dengan jaringan besar,” katanya.
Pertemuan dengan UAE nanti dianggap sebagai perlawanan utama buat pasukan negara dengan kemenangan bakal mencerahkan peluang untuk kekal di saingan divisyen perdana.
Dalam perlawanan tadi, Hong Kong membuka tirai jaringan menerusi Alex Post yang membenarkan pasukan mendahului 0-5.
Begitupun, skuad negara kembali mengatur strategi dan berjaya merapatkan jurang menerusi penalti disempurnakan pemain naturalisasi, Lee James Chapman pada minit kesembilan.
Skuad kendalian Andrew Douglas menamatkan separuh masa pertama dengan mendahului 3-42 selepas melakukan lima try dan menyempurnakan lima conversion sebelum menutup tirai perlawanan dengan keputusan 6-70.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa