Oleh: Saiyed Ismail Saiyed Hussin
WAN CHAI: Satu lagi sejarah dilakar kem boling negara apabila skuad lelaki muncul juara Piala Dunia IBF setelah menumpaskan Puerto Rico di perlawanan akhir.
Aksi penentuan gelaran yang dilangsungkan di gelanggang khas di Queen Elizabeth Stadium itu menyaksikan Malaysia merakam keputusan mendebarkan 3-2.
Diwakili Rafiq Ismail, Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Tun Ameerul Luqman Al Hakim Tun Haznul Azam, skuad negara saling berbalas mata dengan pasukan lawan menerusi catatan 203-179, 216-257, 197-180, 185-222 hinggalah mata 227-161 di permainan kelima mengesahkan kemenangan bermakna itu.
Pencapaian tersebut memastikan skuad negara mengumpul kejayaan kedua di Hong Kong edisi kali ini selepas Natasha Roslan menjulang kejuaraan perseorangan Jumaat lalu.
Pemain berusia 27 tahun itu berpeluang menambah gelaran apabila turut beraksi di perlawanan akhir berpasukan wanita bersama-sama Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim menentang Amerika Syarikat hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.