comscore
Tumpuan :
Sukan

Qi Xuan jalani pembedahan esok

Oleh: Hazreen Mubarak

KUALA LUMPUR: Pemain beregu wanita profesional negara, Ng Qi Xuan dijadualkan menjalani pembedahan esok bagi merawat lutut kanannya yang mengalami kecederaan ketika menyertai Kejohanan Badminton Malaysia Super 100, Sabtu lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Faedzal Md Ramli yang turut memaklumkan, pihaknya akan membantu Qi Xuan dari sesi rehabilitasi sehingga beliau dapat kembali beraksi sepenuhnya.

“Kami selesai melawatnya di hospital petang tadi. Beliau dijadualkan menjalani pembedahan esok. Kos pembedahan ditanggung sepenuhnya oleh Qi Xuan hasil sumbangan orang ramai sebelum ini. Pihak ISN akan fokus pada proses rehabilitasi sehingga beliau dapat kembali beraksi,” katanya.

Qi Xuan mengalami empat kecederaan serius iaitu anterior cruciate ligament (ACL), posterior cruciate ligament (PCL), medial collateral ligament (MCL) dan lateral collateral ligament (LCL) serta sedikit keretakan tulang selepas menjalani ujian pengimejan resonans magnetik (MRI).

Pemain berusia 24 tahun itu kini dirawat di salah sebuah hospital swasta di Damansara.

Terdahulu, Qi Xuan memohon bantuan dari orang ramai menerusi laman sosial Instagram miliknya berikutan kos rawatan dan pemulihannya sekitar RM25,000 hingga RM30,000.

Pendapatannya juga terjejas kerana kecederaan ini selain ibu bapanya juga sudah bersara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini