KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan badan induk itu membuka siasatan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John ketika dihubungi BH Sukan memaklumkan, siasatan berkenaan membabitkan proses pemberian lesen kepada kelab dalam Liga Malaysia (Liga M).
Windsor menjelaskan, pihaknya akan menghubungi FAM dan MFL bagi mendapatkan maklumat serta mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara itu.
Beliau berkata, seandainya terbukti berlaku pelanggaran dalam proses pemberian pelesenan kelab, lesen liga dari AFC berisiko ditarik balik dan boleh membawa kepada tiada wakil Malaysia layak beraksi dalam saingan peringkat Asia.
“Ya betul, kami sudah membuka fail siasatan dan langkah seterusnya adalah kami akan menghubungi FAM dan MFL untuk memulakan perbincangan bersama Jabatan Pelesenan Kelab yang akan memantau serta melihat proses pemberian lesen.
“Selepas semua maklumat dikumpul, kami akan membuat keputusan menerusi jawatankuasa yang ada. Kesan atau tindakan yang paling berat adalah tiada wakil yang boleh kami terima (bermain di pentas Asia).
“Kalau terdapat pelanggaran (dalam proses pemberian lesen) kena hukum kerana kami ada ketetapan. Apa pun kami perlu lihat dahulu sama ada terdapat pelanggaran peraturan atau tidak,” kata Windsor.
Isu tunggakan gaji dan bayaran lain termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membelenggu segelintir pasukan Liga M mendapat perhatian banyak pihak dengan ada yang mempersoal bagaimana kelab berkenaan diberikan lesen.
Pasukan Kuala Lumpur (KL) City sebeum ini juga dilaporkan tidak melunaskan pembayaran KWSP sejak Februari 2023 membabitkan jumlah keseluruhan hampir RM719,000.
Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam kenyataan sebelum ini menjelaskan pemberian lesen kepada KL City FC berdasarkan surat deklarasi pembayaran yang dikeluarkan oleh KWSP sendiri.
“Bagaimanapun dengan percanggahan maklumat yang dinyatakan oleh pihak pengurusan kelab itu sendiri berkaitan dengan kesahihan dokumen yang dikemukakan kepada FIB, maka FIB kini akan memulakan siasatan ke atas perkara ini dengan serta merta,” kata Sheikh Mohd Nasir.
Mengikut laporan, Persatuan Bolasepak Iran didakwa pernah digantung daripada mendapatkan lesen dua tahun lalu yang menyaksikan tiada wakil negara itu dapat beraksi di pentas Asia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.