Oleh: Hazreen Mubarak
KUALA LUMPUR: Skuad boling padang kebangsaan memohon sukan itu kembali disenaraikan dalam Program Podium sekalipun tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Thailand 2025.
Ia sebagai persediaan awal menuju ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 di mana boling padang akan menjadi salah satu sukan sandaran pingat dengan ketiadaan skuasy dan badminton.
Hasrat boling padang dikembalikan ke Program Podium diluahkan salah seorang pemain negara, Izzat Shameer Dzulkeple, ekoran tempoh dua tahun menuju Sukan Komanwel bukanlah tempoh yang lama selain cabaran Piala Dunia yang menanti kem negara di Hong Kong, tahun depan.
“Saya harap jangan kurangkan sokongan sebab kita ada pertandingan besar. Di Sukan Komanwel 2026, boling padang antara yang berpeluang menang pingat sebab banyak sukan pilihan tidak dipertandingkan di temasya itu nanti. Jadi kami perlukan bantuan Program Podium yang secukupnya untuk bersedia ke Sukan Komanwel,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan Zuraidi Puteh berpendapat, sokongan untuk boling padang tahun depan tidak seharusnya dikendurkan, sekalipun sukan itu digugurkan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
“Saya tidak henti-henti rayu pada Majlis Sukan Negara (MSN) dan saya harap pasukan kita ada dalam Program Podium. Ini satu jalan yang dapat selamatkan boling padang dari terkeluar dari arena sukan dunia,” ujarnya.
Untuk rekod, boling padang menyumbang satu pingat perak dan satu gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Boling padang sebelum ini berada dalam Program Podium, tetapi dikeluarkan kerana sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukan Asia Hangzhou 2022.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.