KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) meneruskan usaha mereka bagi mengembangkan jaringan pusat perubatan berkelas dunia dengan mengiktiraf Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebagai Pusat Kecemerlangan Perubatan Sukan AFC.
PPUM menerusi satu kenyataan media hari ini, berkata ia dalah fasiliti kesihatan terbaharu di Malaysia yang diiktiraf selepas Institut Sukan Negara (ISN) pada 2020.
“Pengiktirafan itu diberikan kepada pusat perubatan di rantau Asia yang memenuhi standard kriteria ditetapkan dalam bidang penyelidikan, pencegahan kecederaan serta perkhidmatan klinikal termasuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan perawatan terbaik khusus kepada pemain bola sepak.
“Melalui Jabatan Perubatan Kesukanan, perkhidmatan terkini yang disediakan oleh PPUM adalah Pre-Competition Medical Assessment (PCMA) iaitu prosedur pemeriksaan perubatan pra musim kepada pasukan bola sepak yang memerlukan.
“Antara pasukan bola sepak profesional yang mendapatkan perkhidmatan ini adalah FELCRA FC, Selangor FC dan juga Perak FC,” kata kenyataan berkenaan.
Sebagai rekod, PPUM pernah berkolaborasi bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pusat perawatan dan pencegahan kecederaan untuk pasukan kebangsaan.
Perkhidmatan lain yang turut ditawarkan adalah merangkumi penyelidikan ke atas kecederaan, rawatan rehabilitasi dan persediaan untuk kembali aktif bersukan.
“Selaras dengan pengiktirafan ini, PPUM akan lebih komited untuk memastikan perkhidmatan perubatan kesukanan yang ditawarkan mencapai kualiti standard yang terbaik sama ada di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya. – BERITA HARIAN